Terdapat lebih kurang 1000 spesies mentimun laut di dunia. Terdapat 25 spesies di perairan Malaysia. Mentimun laut yang mempunyai nilai perubatan dikenali sebagai gamat atau timul laut emas (stichopus horrens). Gamat hidup dicelas-celah batu karang 4-40 kaki di dasar laut. Gamat merupakan bahan utama dalam rumusan ubat tradisional untuk menyembuhkan luka. Ia telah digunakan sejak 500 tahun dahulu dan sehingga kin masih digunakan oleh masyarakat kampung di Malaysia. Penggunaan secara meluas diamalkan untuk ibu-ibu selepas bersalin. Air gamat akan mempercepatkan proses penyembuhan luka dalaman, mengurangkan bengkak-bengkak dan bisa-bisa badan. Adalah dipercayai wanita sejak zaman Mahsuri di Pulau Langkawi telah menggunakan air gamat sebagai bahan kecantikan kulit.
Ia terkenal di kalangan pesakit yang baru saja menjalani pembedahan atau wanita yang baru melahirkan anak. Ia boleh diminum atau disapukan dalam kuantiti yang sedikit (10ml). Ia dapat menyembuhkan dalaman luka dengan cepat selain menjadikan kulit lebih lembut, tegang dan halus. Kajian saintifik menunjukkan gamat mempunyai kandungan protein, kondrotin dan serat elastin yang tinggi. Namun ramai yang masih lagi kurang peka terhadap kebersihan dalam penyediaan ekstraknya kerana kandungan garamnya yang tinggi, kewujudan beberapa bahan sampingan yang lain dan baunya yang hanyir, serta dos yang tidak menentu dan tidak sesuai untuk pemulihan tahap optimum. Penyediaan produk berasaskan gamat memerlukan cara pemprosesan dan penulenan yang betul, dan ketepatan dosnya juga penting untuk menghasilkan nilai terapeutik yang nyata
Kegunaan Gamat oleh Masyarakat Malaysia
Sabah dan Sarawak (dikenali sebagai ‘Bat’ atau ‘Balat’)
Digunakan sebagai sumber protein, ianya digunakan untuk mengubati sakit gila babi/ sawan, luka, kurap dan panau
Masyarakat Cina (dikenali sebagai ‘Trepong’ /Hai Shen’ atau’Ginseng Emas Laut’)
Dimakan sebagai sumber protein dan rawatan untuk luka dalaman, tekanan darah tinggi, lemah otot, menambah kecergasan dan fungsi seksual.
Masyarakat Melayu
Digunakan untuk rawatan luka, sakit paru-paru, jangkitan kulit, sakit sendi, gastrik, ulser dan sakit lepas bersalin.