Posted on

Perluas eksport

Sumber: Harian Metro
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

HEALWELL Pharmaceuticals Sdn Bhd, pengeluar produk penjagaan kesihatan dan kosmetik berasaskan gamat House of Healin menyasarkan pendapatan mencecah RM50 juta hingga RM100 juta tahun depan dengan penembusan pasaran produknya ke Dubai selain pasaran eksport sedia ada di Indonesia, Brunei, Jepun, Thailand dan United Kingdom.
Pengerusi Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Hassan Yaacob berkata, perluasan pasaran dilakukan melalui sistem francais yang disifatkan kaedah terbaik berbanding dengan program pemasaran konvensional.
“Sistem francais mempunyai struktur perniagaan lengkap dan ada akta khusus untuk melindungi daripada disalahgunakan. Buat masa ini kita mempunyai 80 francaisi tempatan serta 200 cawangan House of Healin yang akan difrancaiskan kepada usahawan berminat.

“Model perniagaan yang sama akan dilakukan di Dubai tahun depan. Syarikat juga sedang membina bangunan House of Healin di sana,” katanya di Shah Alam, Selangor.
Hassan berkata, produk House of Healin diasaskan 15 tahun lalu menerusi penyelidikan gamat menggunakan geran sebanyak RM2 juta diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar melalui program Penyelidikan Intensif dalam Bidang Keutamaan (IRPA).
Kini, House of Healin mengeluarkan lebih 30 produk antaranya Gamogen, Zaniton, Zaniplus, AG 2000 dan yang terbaru Derma X yang berfungsi merawat penyakit kulit termasuk kulit kering, alahan, dermatisis dan psoriasis.

“Gamat mengandungi sebatian aktif asid amino yang dikenali sebagai Polipeptida yang bersifat rejunevasi dan mampu menembusi sel kulit serta berkesan mempertingkatkan penyembuhan pada kulit,” katanya.
Menurut Hassan, syarikatnya mengalu-alukan lebih ramai usahawan menyertai francais House of Healin dengan modal awal sebanyak RM30,000.

“Sistem francais melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dan berinovasi. Selain itu syarikat melabur ratusan ribu setahun untuk kajian dan penyelidikan bagi memastikan kualiti produk terjamin,” katanya.